Patutkah Saya Menyambung Master Dan PhD Ataupun Cari Pengalaman Kerja Terlebih Dahulu ?
Tidak dinafikan, ini adalah soalan lazim yang sering berlegar-legar dalam fikiran graduan ijazah sarjana muda ketika ini. Ramai yang masih keliru dengan bidang kerjaya yang ingin diceburi. Malah, ada sesetengah daripada graduan menyambung Master hanya kerana ingin menambahkan jumlah scroll ijazah di dalam CV mereka dengan harapan itu akan menambahkan peluang kerjaya.
Suka ataupun tidak, perkara itu tidak selalunya betul.
Mengikut statistik, lebih ramai rakyat Malaysia kini mengejar ijazah sarjana dalam institusi pengajian awam dan juga swasta.
Berdasarkan data dari Kementerian Pengajian Tinggi, terdapat peningkatan sebanyak 14.8% pelajar yang memperoleh ijazah sarjana dalam pelbagai bidang antara tahun 2014 dan 2015. Pada tahun 2014, sejumlah 16,748 pelajar lulus dengan ijazah sarjana. Jumlah itu kemudian meningkat kepada 19,229 pada tahun berikutnya.
Membazirkah Sambung Master ?
Jangan salah faham, tidaklah menjadi kesalahan sekiranya anda menyambung Master. Kelayakan dalam Master boleh menjadi kelebihan tambahan bagi jawatan tertentu, terutamanya untuk peranan kepimpinan seperti pengurus umum dan ketua pegawai operasi.
Firma perunding pengurusan juga cenderung menghargai calon yang mempunyai Master lebih-lebih lagi jika mereka adalah dari institusi terkemuka.
Seperti yang semua tahu, bidang pengajaran dan penyelidikan amat mementingkan kelayakan Master dan PhD. Bagi graduan yang ingin menjadi pensyarah dan melibatkan diri dalam bidang akademik, menyambung pelajaran selepas ijazah sarjana muda mungkin adalah pilihan terbaik.

Calon yang memegang ijazah sarjana juga adalah demand dalam peranan teknikal seperti bidang kejuruteraan dan sains.
Justeru, pengambilan Master haruslah diselarikan dengan kerjaya impian anda, minat serta keperluan dalam industri pekerjaan. Jangan hanya menyambung pengajian pascasiswazah kerana anda hendak lari daripada alam pekerjaan semata-mata.
Dapat Gaji Lebih Tinggi Sekiranya Ada Master ?
Berdasarkan Penyiasatan Gaji untuk Eksekutif 2016, mereka yang mempunyai Master memperoleh gaji purata kemasukan sebanyak RM3,197 sebulan berbanding dengan RM2,566 bagi pemegang ijazah sarjana muda.
Pokok pangkalnya, gaji seseorang itu ditentukan oleh keperluan pekerjaan tersebut dan bukannya tahap kelayakan pemohon. Sebagai contoh, jika pemohon mempunyai Master tetapi pekerjaan hanya memerlukan ijazah asas, maka majikan tetap akan menawarkan gaji peringkat setaraf ijazah asas tersebut.
Kelayakan Akademik vs Pengalaman Kerja
Walaupun majikan biasanya melihat pencapaian akademik calon, namun semua itu bukanlah faktor penentu utama mereka akan direkrut ataupun tidak. Dalam beberapa situasi, pencapaian akademik sebenar atau pencapaian pascasiswazah mungkin tidak begitu penting pun.
Apa yang paling penting adalah soft skills dan value seperti memiliki kemahiran berkomunikasi, mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan pandai mengurus masa.

Jadi, tidak hairanlah sekiranya pemegang ijazah sarjana muda yang mempunyai lebih banyak pengalaman kerja dilihat sebagai lebih berharga.
Banyak kes berlaku di mana pemohon pekerjaan yang mempunyai Master mendapati mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Sukar di sini bermaksud mereka ditolak kerana over qualified untuk sesuatu pekerjaan itu.

Justeru, amatlah penting untuk mendapatkan pengalaman kerja selepas ijazah sarjana muda dan barulah berfikir tentang mengejar kelayakan akademik yang lebih tinggi. Selepas anda sudah meneroka alam pekerjaan dan dalami minat anda, barulah anda akan lebih jelas tentang jurusan apa yang hendak diambil semasa Master dan PhD nanti.
Akhir kalam, pengalaman kerja tidak boleh digantikan dengan kelayakan di atas kertas.
Sumber :
[…] BACA : “Nak Sambung Master Ke Nak Cari Pengalaman Kerja Dulu ?” […]
[…] BACA : “Nak Sambung Master Ke Nak Cari Pengalaman Kerja Dulu ?” […]
[…] BACA: “Nak Sambung Master Ke Nak Cari Pengalaman Kerja Dulu ?” […]