KOTA KINABALU: Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) meminta para peniaga di Sabah agar tidak mengaitkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan harga makanan yang kian meningkat serta menjadikan cukai itu sebagai alasan untuk menaikkan harga jualan makanan mereka.

Presiden CAPS, James Bagah berkata alasan peniaga menggunakan GST sebagai alas an untuk menaikkan harga jualan makanan mereka adalah tidak relevan kerana bahan-bahan asas seperti beras, tepung, gula, ikan, sayuran dan lain-lain dikecualikan daripada cukai itu.
“Isu kenaikan harga makanan ini merupakan isu yang berkait dengan sikap tamak para peniaga dan hal ini tidak ada kena-mengena dengan GST. CAPS sering kali menerima aduan yang mengatakan harga makanan di negeri ini terlalu mahal dan tidak berbaloi dengan jenis makanan yang diperoleh.
“Kami memohon pihak kerajaan agar memantau peniaga yang menaikkan harga makanan sesuka hati mereka serta membatalkan lesen mereka. Mereka perlu dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011” katanya.
Menurut James sikap para peniaga yang keterlaluan dalam mengaut keuntungan perlu ditangani secara serius dan kerajaan perlu bertegas untuk memastikan para peniaga ini tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga makanan untuk kebaikan semua pihak.
James juga meminta warga pengguna supaya sama-sama memainkan peranan supaya melaporkan mana-mana peniaga atau premis yang meletakkan harga makanan atau barangan yang tidak berpatutan kepada pihak berwajib seterusnya memboikot peniaga atau premis tersebut.
“Tindakan memboikot adalah tindakan alternatif terbaik untuk memberi amaran dan pengajaran kepada peniaga yang tidak prihatin dengan membebankan pengguna yang terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi. Kenaikan harga makanan yang tidak terkawal ini membebankan pengguna dan hal ini sangat dirasai oleh golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana” tegasnya.
Berkaitan dengan Bajet 2018 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak pada esok hari, James mengharapkan agar bajet itu merupakan bajet “mesra pengguna”. Beliau berharap bajet ini mengambil kira bebanan hidup rakyat yang terpaksa bergelut dengan kenaikan harga barang.
“CAPS yakin bajet ini memberi penekanan terhadap penurunan kos sara hidup rakyat. Beliau juga berharap supaya kadar GST dapat diturunkan sekurang-kurangnya 3 peratus.
Teruskan layari Deenamik.com dan like FB page Deenamik untuk dapatkan info-info terkini serta isu-is viral dari dalam dan luar negara.
Layari Daulah Online Bookstore, Kedai Buku Online Yang Menawarkan Buku-Buku Bestseller Idaman Anda Dengan Harga Termurah Di Malaysia!

Sumber:
www.astroawani.com