KUALA LUMPUR – Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Muhammad Ali Hashim, akan dikenang atas visi keusahawanan dan bimbingannya dalam membangunkan perbadanan itu.
Mereka akan mendirikan solat jenazah di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Isya’.
Tan Sri Muhammad Ali Hashim meninggal dunia akibat kanser pada usia 70 tahun di KPJ Damansara pada 3.30 petang tadi.
Difahamkan, beliau telah mendapatkan rawatan di hospital sama sejak dua bulan lalu. Allahyarham meninggalkan isterinya, Puan Sri Noorzilah Mohammed Ali dan tiga cahaya mata.
Bibliografi
Tan Sri Muhammad Ali Hashim dilahirkan di Mersing pada 19 April, 1947 dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya pada tahun 1969.
Beliau juga menyertai Program Eksekutif Kanan di Universiti Stanford, Amerika Syarikat pada tahun 1985.
Beliau mendapat anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang keusahawanan, perniagaan dan pengurusan oleh 8 universiti di Malaysia.
Sumbangan
Muhammad Ali berkhidmat dengan perbadanan pelaburan negeri Johor selama 28 tahun sejak Januari 1982 sehingga Julai 2010.
Di bawah pimpinannya, JCorp menjadi antara syarikat yang terkemuka di Malaysia, dengan kira-kira mempunyai 280 syarikat di bawah sayapnya.
Melalui kumpulan syarikat itu, JCorp muncul di antara peneraju pasaran domestik dalam beberapa perniagaan teras, terutama dalam Perniagaan KULIM, Perniagaan Kesihatan Pakar dan Perkhidmatan Makanan & Restoran.
Kumpulan ini juga telah menubuhkan bahagian pembangunan hartanah, perindustrian dan tanggungjawab korporat.
Kumpulan ini memiliki kepentingan operasi dan perniagaan bukan sahaja di Malaysia, malah di Singapura, Brunei, Kemboja, Indonesia, Thailand, Bangladesh, dan Australia.
Muhammad Ali juga ialah bekas Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia (MICC), Pengerusi Biro Korporat MICC, dan Pengerusi Waqaf An-Nur Corporation Bhd.
Beliau juga berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Ekonomi Johor, Bank Negara Malaysia sejak tahun 1971, Ketua Penolong Setiausaha, Pejabat Ketua Menteri Sarawak sejak tahun 1972, Timbalan Pengarah, Unit Perancang, Kerajaan Negeri Sarawak dari tahun 1974 sehingga 1977 dan Pengurus Projek, Kulim (Malaysia ) Bhd sejak 1978.
Beliau ialah Pengerusi Majlis Penasihat KFC Holdings Malaysia Bhd sejak 6 Julai 2006 dan Pengerusi Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn. Bhd.
Mengulas pemergian Muhammad Ali, Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim berkata perkara ini merupakan sesuatu yang menyedihkan kepada masyarakat Melayu dan negara. Semestinya komuniti perniagaan pasti akan merinduinya.
“Beliau banyak menyumbang kepada Johor dan negara. JCorp terlibat dalam pelbagai pelaburan dalam beberapa sektor seperti perkhidmatan perubatan dan perladangan. Beliau telah banyak menghasilkan pembangunan semasa menjadi CEO” katanya.
Anugerah
Atas sumbangannya terhadap perkembangan keusahawanan dan kedudukan ekonomi masyarakat Islam, beliau menerima Anugerah Penghargaan Maal Hijrah oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2007.
Beliau dipilih sebagai Usahawan Terbaik oleh Rotary Club Johor Bahru pada 1994 dan Pengarah Terbaik 1995 oleh Institut Pengarah Malaysia atas komitmennya terhadap kualiti, keusahawanan dan profesionalisme.
Penulisan
Muhammad Ali menulis tiga buku iaitu ‘Membujur Lalu mengenai pengalaman orang melayu dalam pengurusan’ (1995), Bisnes Satu Cabang Jihad mengenai pembudayaan bisnes untuk survival (2003) dan Khalifah Ganti Superman (2011).
Teruskan layari Deenamik.com dan like FB page Deenamik untuk dapatkan info-info terkini serta isu-is viral dari dalam dan luar negara.
Layari Daulah Online Bookstore, Kedai Buku Online Yang Menawarkan Buku-Buku Bestseller Idaman Anda Dengan Harga Termurah Di Malaysia!
Sumber:
Sinar Harian