KOTA KINABALU: Alasan seorang bekas tukang masak bagaimana dia mula terjebak dengan dadah untuk bertenaga ketika bertugas di dapur.
Suspek ditahan dalam serbuan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), malam tadi.
Lelaki berusia 28 tahun itu adalah antara 30 individu yang ditahan kerana mengambil dadah. Pihak polis membuat operasi sekitar bandar raya ini bermula jam 9 malam oleh AADK Kota Kinabalu.
Selepas ditahan di kediaman keluarganya di Inanam kira-kira jam 11 malam, bekas tukang masak itu mendakwa mula mengambil dadah sejak tahun lalu.
”Pada asalnya saya mengambil dadah kerana keperluan tugas ketika masih bekerja sebagai tukang masak restoran mengikut syif. Apabila kerja syif malam, saya akan mengambil dadah untuk menjadikan badan lebih bertenagaā€¯.
”Akhirnya, saya mula menjadi ketagih,” katanya yang mengaku berhenti kerja selepas terbabit dalam kemalangan motosikal.
Sementara itu, Ketua AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh, berkata selain Inanam operasi turut dijalankan di sekitar Likas membabitkan kerjasama beberapa agensi lain.
Katanya, operasi itu dijalankan hasil maklumat orang awam selain bertujuan membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.
”Dalam operasi ini, 30 orang ditahan dengan 15 daripada mereka termasuk seorang wanita positif dadah jenis syabu atau Methamphetamine.
”Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan akan direman selama 14 hari di bawah Seksyen 4 (1) (b) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menangani masalah penagihan serta penyalahgunaan dadah khususnya di bandar raya ini.
Teruskan layari Deenamik.com dan like FB page Deenamik untuk dapatkan info-info terkini serta isu-isu viral dari dalam dan luar negara.