Sekumpulan remaja disyaki berlumba motosikal di Lebuh Raya Utara-Selatan di Taiping awal pagi semalam telah membelasah seorang pemandu ambulans sehingga cedera parah.
Pemandu ambulans yang cedera itu berasa serik untuk menegur perbuatan berbahaya kumpulan berkenaan.
Pemandu berusia 53 tahun yang tinggal di Parit Buntar itu berkata, dia tidak mahu kes sama berulang setelah menerima empat jahitan di kening hanya kerana menegur perbuatan kumpulan remaja itu.
Menurutnya, ini merupakan kejadian pertama dialaminya sepanjang 13 tahun menjadi pemandu ambulans di laluan yang sering menjadi tempat kumpulan remaja bermotosikal berlumba haram.
Saya sudah biasa menggunakan laluan ini untuk menghantar pesakit dan sememangnya tahu ini merupakan tempat kumpulan bermotosikal berlumba.
“Namun saya tidak menyangka mereka bertindak agresif hanya disebabkan saya menggunakan pembesar suara agar memberi laluan. Selepas ini, saya tidak mahu lagi menegur perbuatan mereka, biarlah,” katanya.
Kejadian berlaku pada 1.40 pagi semalam ketika mangsa dan seorang jururawat sedang dalam perjalanan dari Hospital Parit Buntar ke Hospital Taiping untuk menghantar seorang pesakit.
Ketika tiba di persimpangan lampu isyarat berhampiran Plaza Tol Kamunting arah utara, pemandu ambulans menegur kumpulan remaja bermotosikal dengan pembesar suara agar memberi laluan, menyebabkan mereka marah lalu menghimpit ambulans dengan motosikal.
Ketika itu, seorang daripada penunggang terjatuh menyebabkan empat hingga enam remaja lelaki cuba menarik mangsa keluar dari ambulans dan menumbuk muka mangsa.
Sementara itu, jururawat yang menjaga pesakit di belakang cuba membantu dan meleraikan perbuatan kumpulan terbabit, namun dia turut ditendang.
Menurut pemandu ambulans berkenaan, dia lega kerana kumpulan remaja berkenaan akhirnya beredar setelah orang ramai menyedari kejadian tersebut.
“Setelah kumpulan remaja berkenaan melarikan diri dan kami meneruskan perjalanan menghantar pesakit,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintenden Razlam Ab. Hamid mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi mengenai isu ini, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk iklan atau artikel anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com
Dipetik dan diolah dari malaysiandigest.com