Tatkala kebanyakan negeri di Malaysia bakal menerima menteri besar daripada parti baharu, situasi sebaliknya pula dialami oleh negeri Pahang. Pada PRU ke-14 yang lalu, parti Barisan Nasional menang majoriti DUN di Pahang dan sekali gus bakal mempunyai MB Pahang dari parti mereka.
Walaubagaimanapun, istiadat mengangkat sumpah MB Pahang yang dijadualkan berlangsung hari ini ditangguhkan buat sementara. Dilaporkan, penangguhan itu adalah bertujuan untuk memberi Istana Pahang lebih masa untuk mengenali muka baharu yang memenangi kerusi DUN pada pilihan raya lalu.
MB Pahang sebelum ini, Adnan Yaakob dijangka akan terus diberi kepercayaan untuk menerajui negeri yang bakal dikenali sebagai negeri pembangkang itu.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa penangguhan itu juga dilakukan kerana baginda merasakan ‘ia perlu dilakukan’ dan tiada sebab lain.
“Saya perlukan masa dan tiada masalah untuk menubuhkan kerajaan… Saya hanya perlukan sedikit masa untuk mengenali semua anggota kerajaan,” titahnya kepada pemberita di Istana Abu Bakar.
Namun, penangguhan itu tidaklah akan mengambil masa yang terlalu lama. Sumber memaklumkan bahawa majlis angkat sumpah akan dilaksanakan sebelum 1 Ramadan nanti, bersamaan 17 Mei 2018.
Kemungkinan besar, istiadat mengangkat sumpah jawatan menteri besar itu nanti akan dilakukan serentak dengan pelantikan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Sementara itu, ditanya mengenai perjumpaannya dengan bakal ADUN baharu yang dilakukan secara berasingan mengikut parti di Istana Abdul Aziz di Kuantan semalam, Tengku Abdullah bertitah ia perkara biasa.
“Tiada apa… saya jemput datang dan saya sentiasa suka berjumpa, bertanya khabar (mereka) dari kawasan mana,” titah baginda.
Sebelum ini, Tengku Abdullah difahamkan telah berkenan menghadap bakal ADUN Pahang di istana baginda yang dimulakan dengan wakil daripada PAS, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN).
Sumber : BERNAMA
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk iklan atau artikel anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com