SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sisa buangan yang menjejaskan alam sekitar dan keindahan pulau tersebut.
Dalam tinjauan dibuat di Bukit Malut, SAM mendapati keadaan di beberapa lokasi di kawasan berkenaan cukup kotor dan jijik dipandang.
Pelbagai bahan buangan seperti kertas, barangan plastik dan sisa binaan dilonggokkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di tepi jalan di kawasan tersebut yang sering dilalui oleh orang ramai.
Ibarat tiada ‘kunjungan’ penguatkuasa ke sana, Bukit Malut yang terletak kira-kira 8 kilometer dari Pekan Kuah, hampir ‘ditenggelami’ sampah, apabila sisa buangan itu langsung tidak diuruskan dengan baik.
Bahkan menurut penduduk, tong sampah yang dibekalkan ‘hanya sekadar ada’.
Sementara itu Yang Dipertua MPLBP, Abdul Bari Abdullah menjelaskan perkhidmatan menyelia dan mengurus sampah di kawasan Bukit Malut adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal.
“Sebenarnya saya ingin maklumkan di sini bahawa kawasan penempatan Bukit Malut adalah berada di luar daripada kawasan perkhidmatan MPLBP.
“Walaubagaimanapun syarikat konsesi yang telah dilantik oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di bawah seliaan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal telah pun menyediakan dan mengadakan dua tempat tong berpusat bagi kawasan tersebut,” jelasnya.
Pihaknya turut meminta kerjasama dari semua pihak di kawasan terbabit untuk sama-sama membuang sampah di tempat yang telah ditetapkan.
Abdul Bari juga berjanji akan mendapatkan maklum balas daripada pihak syarikat konsesi yang dilantik berhubung isu berkenaan.
sumber awani