Rakyat Masih Belum Cukup Bersatu
Satu fakta yang tidak boleh kita nafikan, rakyat Malaysia sebenarnya masih berpecah-belah. Ini merupakan satu hakikat yang perlu kita sedari.
Menurut satu kajian yang dijalankan bertajuk “Fault Lines and Common Ground in Malaysia’s Ethnic Relations and Policies” oleh Dr Lee Hwok-Aun di Institut Pengajian Asia Tenggara, hasil kajian mendapati setiap kaum di negara ini cenderung untuk bergaul dengan kaum sendiri sahaja dalam berkawan dan membina hubungan.
Ini dapat dilihat melalui masyarakat Melayu terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar sangat jarang bergaul dengan orang bukan Melayu. Kaum India pula dan Cina pula selalunya terkumpul di kawasan kejiranan tertentu.
Melihat kepada situasi demografik ini, nak disalahkan rakyat 100 % pun tak boleh juga. Rakyat tidak mendapat banyak ruang untuk merapatkan jurang di antara kaum kerana sudah dipisahkan di peringkat sekolah, kadangkala di tempat kerja dan juga beberapa faktor lain sejak dari zaman British lagi. Memang benar ada segelintir yang tidak mahu bercampur dengan kaum lain di atas pilihan sendiri namun jumlahnya hanya sedikit sahaja.
Jika diteliti, terdapat beberapa faktor yang menjurus kepada perpecahan tiga kaum terbesar di Malaysia – Melayu, Cina dan India. Antara faktor tersebut adalah pendidikan vernakular, perbezaan agama serta politik berasaskan kaum.
BACA : Adakah Kerajaan Sibuk Menolong Rohingya Sehingga Mengabaikan Rakyat Di Negara Sendiri ?
Dari sudut pendidikan, kajian mendapati hampir separuh responden dari kaum Cina mempunyai keinginan untuk meninggalkan negara ini, terutamanya mereka yang telah tamat pengajian di sekolah menengah dan peringkat yang lebih tinggi.
Dari segi agama pula, kaum Melayu Muslim mengagungkan Islam dan menganggap agama lain sebagai kurang penting. Memang benar mengangkat martabat Islam itu dituntut, tetapi janganlah sampai menghina agama kaum-kaum lain. Situasi sama turut berlaku bagi penganut agama Buddha dan Hindu di Malaysia, masing-masing merasakan agama mereka adalah yang terbaik, tidak seperti agama lain.
Pedih untuk diakui, tetapi sebenarnya faktor perbezaan agama adalah penghalang terbesar kepada perpaduan kaum di Malaysia. Rakyat di negara ini masih bertelagah mengenai isu agama dan sukar untuk menghormati pegangan agama kaum lain tidak kiralah Melayu, Cina atau India sekalipun. Di sinilah perlunya sikap bertolak ansur dan toleransi bagi mengatasi pertelingkahan ini.
Perpaduan Kaum Dijadikan Mainan Politik
Lebih parah lagi, isu agama ini sering dilacurkan oleh parti-parti politik di Malaysia sebagai umpan mereka untuk memancing undi.
Sememangnya parti-parti politik berasaskan kaum bukanlah perkara baru di negara multi-etnik seperti Malaysia. Malah, ketakutan kepada dominasi ekonomi oleh kaum Cina serta lambakan tenaga kerja warga asing juga adalah modal utama sesetengah parti politik untuk mendapatkan sokongan daripada kaum Melayu terutamanya. Tidak lain tidak bukan, hak-hak istimewa Melayu dan bumiputra seringkali dilaungkan oleh mereka sebagai umpan untuk memancing undi.
Mari kita lihat dari sudut neutral. Isu perpecahan kaum ini sangat merisaukan tambah-tambah lagi dengan pilihan raya yang bakal berlangsung pada Ogos tahun hadapan. Perjuangan membela kaum semata-mata telah ini mencorakkan politik di Malaysia, walaupun sudah lebih 50 tahun mendapat kemerdekaan daripada British. Nampak gayanya, pilihan raya tahun ini akan turut mengikut corak yang sama.
Walaubagaimanapun, perpecahan kaum di Malaysia ini tidaklah seburuk yang disangka. Rakyat tidak bermusuh antara satu sama lain dan semua kaum masih hidup aman damai. Masyarakat juga telah mencapai tahap perpaduan walaupun berbilang bangsa. Cumanya, nilai menghormati hak serta meraikan perbezaan kaum-kaum lain masih goyah dan perlu dikukuhkan lagi.
Konklusinya, rakyat Malaysia haruslah bertolak ansur dan saling menghormati hak-hak kaum lain. Tiada salahnya memperjuangkan kepentingan kaum sendiri tetapi janganlah mendiskriminasikan hak-hak kaum lain yang turut merupakan wargenegara Malaysia. Sampai bila kita mahu hidup dengan penuh perasaan prejudis terhadap kaum lain ? Sampai bila ?
Kami tinggalkan persoalan itu untuk anda jawab.
Jom Layari Daulah Online Bookstore, Kedai Buku Online Yang Menawarkan Diskaun Berganda-ganda Yang Anda Tak Akan Dapat Di Tempat Lain!
Sumber :