Tidak pernah dengar lagi seorang lelaki yang mempunyai antena tertanam dalam tengkoraknya kan? Tetapi ia terjadi kepada seorang lelaki kelahiran Britain mengisytihar dirinya sebagai organisma sibernatik (cyborg) pertama di dunia.
Neil Harbisson mendakwa gambar pasport Britain miliknya menampakkan antena di kepalanya itu yang bermaksud kerajaan Britain menerima bahawa peranti itu adalah sebahagian daripada dirinya, sekali gus mengiktirafnya sebagai cyborg.
Harbisson membuat kenyataan demikian kepada wartawan pada Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Lelaki berkenaan mempunyai antena yang ditanam di kepalanya pada 2004 bagi membantunya melihat warna.
Dia sebelum ini mengalami masalah akromatopsia yang menyebabkan dia hanya mampu melihat keadaan sekeliling dengan latar hitam dan putih sahaja.
Harbisson turut memberi amaran bahawa kerajaan di seluruh negara perlu menerima kenyataan bahawa tidak lama lagi akan wujud lebih ramai manusia dengan tubuh berteknologi tinggi.
“Saya melihat antena ini bukan sebagai peranti tetapi adalah organ saya. Saya tidak memakai antena ini, sebaliknya saya mempunyai antena ini, jadi saya melihatnya sebagai sebahagian daripada diri saya.
“Saya datang ke sini untuk membincangkan bagaimana akan ada lebih banyak manusia yang menganggap diri mereka sebagai cyborg dan bagaimana kerajaan harus menerima perubahan ini,” katanya.
Harbisson mendakwa implan itu membolehkannya memperluaskan persepsi tentang realiti di luar spektrum visual selain dapat mengesan gelombang inframerah dan ultraungu.
‘Cyborg’ itu juga mendakwa mempunyai sambungan internet di kepalanya yang membolehkannya menerima warna dari bahagian lain di dunia dan menyambungkan ke satelit untuk melihat warna dari ruang angkasa.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi mengenai isu ini, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk iklan atau artikel anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com