Raja Bomoh yang pernah mencuri tumpuan media tempatan dan antarabangsa beberapa tahun yang lalu, kini bercadang untuk bertanding di dalam Pilihan Raya Umum (PRU-14) yang akan datang.
Ibrahim Mat Zin, 67 tahun, mengumumkan perkara tersebut menerusi satu sidang media yang dianjurkan pada Selasa. Di dalam sidang itu, dia menjelaskan keinginannya untuk bertanding bagi kerusi Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Perak, menurut laporan Harian Metro.
Gelaran Raja Bomoh sebelum ini menjadi bahan ketawa di seluruh dunia pada 2014, setelah mendakwa dia boleh menemukan kapal terbang MH370 yang hilang dengan menggunakan buah kelapa, karpet terbang dan teropong buluh.
Dia juga menjalankan dua upacara bomohnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengesan lokasi MH370, namun tidak menemukan sebarang hasil.
Pada awal tahun lepas, semasa Malaysia di dalam situasi tegang dengan Korea Utara gara-gara pembunuhan Kim Jong Nam, Raja Bomoh kembali mencuri tumpuan apabila datang melakukan satu upacara yang didakwanya mampu melindungi Malaysia daripada diserang negara Asia Timur berkenaan.
Sebuah video tular yang tersebar memaparkan Raja Bomoh berserta 3 orang pembantunya merendamkan kaki bersama 2 biji kelapa, kayu-kayu yang digunakan sebagai teropong, 5 meriam buluh, satu karpet dan semangkuk air laut.
Gara-gara itu, Ibrahim didakwa pada April tahun lalu di Mahkamah Syariah atas kesalahannya melakukan upacara yang bertentangan dengan Islam.
Walaubagaimanapun, Raja Bomoh menjelaskan bahawa dirinya sudah bertaubat daripada mempermainkan Islam.
Ini bukanlah kali pertama Ibrahim melibatkan dirinya dalam arena politik. Pada PRU-13 yang lalu, dia tampil di dalam sebuah video yang meramalkan Parti Barisan Nasional akan tewas kepada Pakatan Rakyat.
Jadi bagaimana, ada yang nak mengundi Raja Bomoh ini ke dalam PRU nanti ?
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk artikel atau iklan anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com